Selasa, 17 Ogos 2010

Pengalaman Bersama Arowana

Bila saudara mula berjinak dengan Arowana?
Pada Tahun 2008. Masa tu, abang ipar saya asyik bersembang dengan adik dia tentang penternakan Ikan Kelisa di Bukit Merah, Perak. Dia pun hanya baru mendengar tentang penternakan ikan Kelisa. Jadi, pengetahuan tentang Kelisa tak banyak.
Pada masa tu saya hanya pasang telinga ja. Dah lama dah saya tau kelisa ni mahal. Tak tau pulak ada orang yang buat penternakan Kelisa. Setahu saya, Kelisa ni kena cari di sungai yang ada buaya. Cukup bahaya nak dapat Kelisa ni, pasai tu la mahal.
Lepas pada tu, saya cuba pi merayau kat Tebuk Panchur kawasan pembiakan Kelisa. Saya lihat sendiri perjalanan penternakan kelisa. 3 minggu lepas tu saya beli seekor Arowana Yellow Tail, murah sikit dalam RM 140.00. Syarikat Tripell H nama syarikat kolam tu. Kadang-kadang saya rasa macam kerja gila beli ikan hiasan sampai harga beratus ringgit. Tapi itulah permulaan saya.

Macam mana dengan Arowana jenis lain?
4 bulan lepas saya beli Arowana Yellow Tail, saya tengok tak lah susah sangat nak bela ikan ikan ni. Macam bela puyu jer. Satu hari abar ipar telefon tanya saya, nak tak beli Kelisa Hiback Qualiti harga RM 500 seekor?. Nak jadikan rezeki saya masa tu juga saya baru terima wang tunggakan kerja RM 2000 lebih. Cantiiik. Saya pun mulalah bela 3 ekor kelisa Highback Qualiti. Nak beli Malaysian Golden, mahal sangat, RM 2000. Mana ada duit.

Tak takut ke risiko, ikan mati ke, rugi ke?
Kalau dah guna modal duit ribu-ribu tu, sapa tak bimbang. Isteri saya pun tak habis-habis coleteh kat saya. Sabar je la. Dalam bimbang tu, saya juga fikir waras. Kalau takut ikan mati, lembu pun boleh mati, orang meniaga pun ada rugi. Itu memang lumrah ujian untuk manusia. Itu kerja Allah, manusia hanya berusaha, bekerja. Kalau duk fikir : kalau mati, kalau rugi, kalau ni kalau tu, sampai bila tak ke mana la kita. Yang penting kita usaha dan doa kepada Allah.

Macam mana bela 3 ekor Arowana tu, ada untung ke?
Apa yang penting bagi saya, saya puas kerana saya memang minat ikan hiasan. Kalau tak minat, cerita panjang pun tak guna. Kalau sekadar nak untung, saya boleh beli dan suruh orang bela pun, saya dah boleh untung, walaupun keuntungan tu kena bagi dua.
Ringkasnya memang lah untung 6 kali ganda dari modal saya dulu. Masa tu isteri saya pun tak lekang dari mengukir senyuman. Yelah duit, sapa tak seronok. Tapi akal biarlah waras, iman mestilah terpelihara.
Abang ipar saya lagi la seronok, dia bela 11 ekor, dapat la dalam RM 30,000 lebih. Adik ipar pula bela 6 ekor, dapat la RM 22,000. Dari saat tu mula la rasa ada sedikit keyakinan untuk meneruskan usaha membela Arowana ni sebagai hasil pendapatan sambilan saya. Tu la crite serba sedikit.

Tak buat projek lain ke?
Ada juga, tapi jadi rakan kongsi jer. Melabur dalam penternakan "Malaysian Golden". Kawan-kawan di pejabat duk kongsi sama-sama depa. Saya pula kongsi dengan ipar duai.

Dah lama ke saudara melabur ni?
Dah setahun lebih. Itu pun sebab abang ipar ajak sher sekali sebab dia pun tak cukup ongkos. bincang punya bincang ada 5 orang nak sher sekali. Alhamdulillah, dah mula mengeluarkan hasil. Baru-baru ni masing-masing dapat RM 7000 lebih. Alhamdulillah rezeki bulan Ramadhan.
Pelaburan ni tak macam pelaburan yang kabur tu. Semua berlaku depan mata kita. Kita boleh tengok aktiviti syarikat depan mata kita.

Selasa, 20 April 2010

Pasaran Arowana

Harga ikan meningkat berdasarkan saiz namun bagi pasaran tempatan, harga ikan berbeza mengikut lokasi dan secara puratanya bagi ikan yang berkualiti di antara RM250 hingga RM900 pada saiz 6-9 inci.Bagi pasaran eksport, syarikat atau individu mestilah berdaftar dan memiliki Lesen Import dan Eksport SKKP Pin.91 yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga Permit CITES.

Berdasarkan analisis LKIM, pelaburan ke atas projek ini agak besar yang mana kos bagi memulakan ternakan Arowana di atas tanah seluas 0.25 hektar dianggarkan sebanyak RM139,392 dengan kelengkapan paling minimum.

Nilai pasaran ikan Arowana juga dipengaruhi oleh cita rasa peminat ikan tersebut namun ketika ini, permintaan serta harganya masih tinggi terutama bagi pasaran antarabangsa.Secara umumnya ketika ini tidak ramai yang mampu menceburi bidang pengeluaran benih ikan ini kerana modal permulaan dan operasi yang agak tinggi termasuk mengambil masa yang agak lama untuk membiak iaitu kebiasaannya pada umur lima tahun. Bagaimanapun, melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan dan mendatangkan pulangan yang lumayan.

Berdasarkan laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat. Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan. Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.

Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan. Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.

Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara. Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.

Isnin, 19 April 2010

Kelisa Hijau / Green Arowana

Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh kelihatan agak membujur dan sedikit memendek (spesis arowana Asia terpendek dalam genus Osteoglossidae - Osteoglossiformes - Scleropages formosus). Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal berwarna hijau tua-kekelabuan, sementara ekornya berbentuk agak melebar dan membulat di bahagian hujungnya.

Warna sesisik » Putih pudar yang telus cahaya (Arowana dewasa) harus meliputi dari bahagian abdomen hingga ke aras jaluran ke-5 - sama-sekali tidak memiliki variasi warna yang begitu menonjol berbanding kategori-kategori utama Arowana Asia yang lain. Kedua-dua bebola matanya berwarna jernih kekuningan (adakalanya sedikit kemerahan, bergantung kepada generasi habitat asalnya) serta berukurlilit agak besar, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya coklat tua.



Yellow Tail

Bentuk tubuh dan warna sesirip » Sama juga seperti Common Green. Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal adalah berwarna kuning terang bercampur sedikit jejalur kehijauan.

Warna sesisik » Putih-kepucatan yang agak telus cahaya meliputi dari bahagian abdomen hingga ke aras jaluran sesisik ke-5. Manakala bahagian-bahagian lain sama keadaannya seperti Common Green.

Chilli Red / Super Red

Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh kelihatan agak melebar dan berkepala agak mengecil. Manakala konfigurasi dari bahagian badan ke bahagian kepala kelihatan agak melandai/melengkung. Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal berwarna merah garang sementara ekornya berbentuk agak dempak/lebar serta berbentuk menajam di bahagian hujungnya.

Warna sesisik » Merah saga pegun (Chilli Red matang/dewasa) haruslah meliputi dari sektor tebing sesisik (bingkai sisik) hingga ke bahagian kedua-dua permukaan sektor pipi (tompokan merah di kedua-dua belah sektor pipi). Manakala warna seakan-akan kehijau-hijauan tua agak kelihatan pada permukaan sektor teras sesisiknya tanpa imbasan kilauan (tidak seperti Kategori Arowana Emas). Kedua-dua bebola matanya berwarna agak kekuning-merahan serta berukurlilit agak besar, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya hijau tua-kecoklatan.



Blood Red

Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh agak gempal serta kelihatan memanjang dan langsing. Manakala konfigurasi dari bahagian badan ke bahagian kepala kelihatan agak meruncing/menirus dan bersaiz normal. Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal adalah berwarna merah pekat sementara ekornya berbentuk melebar dan membulat di bahagian hujungnya (berbanding Chilli Red - konfigurasinya agak menajam di hujung ekornya).

Warna sesisik » Merah pekat pegun (Blood Red matang) akan meliputi dari sektor tebing sesisik (bingkai sisik) hingga ke bahagian kedua-dua permukaan sektor pipi (sama keadaannya dengan Chilli Red). Manakala warna seakan kebiru-biru tua agak kelihatan pada permukaan sektor teras sesisiknya tanpa imbasan kilauan (warna pegun - tidak seperti Kategori Arowana Emas). Kedua-dua bebola matanya berwarna agak kuning-kemerahan serta berukurlilit agak mengecil jika dibandingkan dengan Chilli Red), manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak juga lazimnya hijau tua-kecoklatan.

Kelisa Emas / Malaysian Golden

Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh agak memanjang dan kelihatan langsing. 1/3 warna pada aras atas dari sektor ekor ke sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh) adalah berwarna hijau tua-sedikit tetompok kekuningan, manakala 2/3 warna pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip anal (sirip tunggal di bahagian bawah berhampiran ekor), sirip pelvik (sepasang sesirip di bahagian hadapan sektor anus - lazimnya pada bahagian ini warnanya sedikit memudar) serta sepasang sesirip pektoral (sirip paling hadapan di kedua-dua belah sisi tubuh) adalah berwarna oren-kemerahan.

Warna sesisik » Kuning-keemasan (Intensiti 18-24 karat - Arowana Emas Malaysia matang/dewasa) dengan kilauan kebiru-biruan/keungu-unguan jelas kelihatan terimbas pada permukaan sektor teras sesisiknya sewaktu ia kecil - bermula dari bahagian jaluran sesisik ke-4 atau ke-5, malah konfigurasi warna ini mampu meliputi secara keseluruhan sehingga ke bahagian aras jaluran sesisik ke-6 - sektor puncak (setelah berusia 5-6 tahun ke atas). Kedua-dua bebola matanya kelihatan sedikit kuning-kemerahan dan berukurlilit agak besar, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya coklat tua-kekelabuan.



Emas Indonesia

Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh agak membujur dan sedikit memendek. 1/3 warna pada aras atas dari sektor ekor ke sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh) adalah hijau gelap-kehitaman, manakala 2/3 warna pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip anal, sirip pelvik serta sepasang sesirip pektoral adalah merah-merah tua (warna pada sesirip serta ekor Arowana Emas Indonesia lazimnya agak memekat berbanding Arowana Emas Malaysia. Oleh kerana itu jugalah, maka ia dilabel sebagai Arowana Emas Berekor Merah atau Red-Tailed Golden dalam bahasa Inggeris).

Warna sesisik » Kuning-loyang (Intensiti 12-16 karat - Arowana Emas Indonesia matang) dengan sedikit kilauan keungu-unguan kelihatan terimbas pada permukaan sektor teras sesisiknya (kilauannya tidak begitu ketara berbanding Emas Malaysia), bermula dari bahagian jaluran sesisik ke-4 (agak selari dengan aras matanya). Adakala warna ini mampu untuk menjangkau sehingga ke aras jaluran sesisik ke-5 jika dikacuk bersama Arowana Emas Malaysia - proses mutanisasi/hibridisasi). Kedua-dua bebola matanya berukurlilit agak mengecil jika dibandingkan dengan Arowana Emas Malaysia dan berwarna merah gelap, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya kekelabu-hitaman.

Dunia Arowana

Tahukah anda seekor ikan kelisa yang bermutu dari spesis tertentu sangat mahal harganya apabila ianya diternak secara lebih sistematik dengan kualiti yang terjamin. Ikan ini hanya sesuai diternak di dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia hanya di Johor(Batu Pahat), Kedah (Kulim & Bandar Baru) dan Perak(Bukit Merah & Kuala Kangsar) tempat yang paling sesuai diternak dan di Bukit Merah terdapatnya spesis ikan tersebut yang paling mahal didunia.
Walaupun hasilnya sangat lumayan tak semua orang dapat melakukan dengan sebaiknya apatah lagi untuk tujuan pembenihan yang bermutu. Ikan kelisa juga spesis yang dilindungi yang mungkin mengalami kepupusan dan pengimpotan keluar negara perlukan sijil CITES untuk urusan pembelian dan penjualan diperingkat antarabangsa bagi mengelakan kepupusan spesis tersebut.
Arowana Asia atau lebih dikenali oleh masyarakat Melayu di Malaysia sebagai ikan kelisa, manakala bagi penduduk-penduduk etnik di beberapa buah daerah di Republik Indonesia sebagai ikan peyang, tangkelesa, kelesa, siluk, kahyangan serta beberapa nama lain lagi, adalah ikan hiasan eksotik klasik bermutu tinggi yang begitu istimewa di kalangan penggemarnya.
Di samping itu juga, ia sangat terkenal dengan nama jolokannya seperti Dragon Fish dan Dragon Bonytongues terutama sekali bagi para pengekspot dan pengimpot ikan yang sedang diancam kepupusan ini. Walau apa pun jua nama yang diberikan kepadanya, Arowana tetap berenang megah sebagai raja ikan hiasan eksotik air tawar yang unik dan eksklusif.
Kepada anda yang turut meminati spesis ini, atau ertikata lainnya menggemari hobi memeliharanya samada di rumah mahupun di pejabat, mudah-mudahan artikel-artikel yang dipaparkan menjadi informasi yang berguna buat anda.