Harga ikan meningkat berdasarkan saiz namun bagi pasaran tempatan, harga ikan berbeza mengikut lokasi dan secara puratanya bagi ikan yang berkualiti di antara RM250 hingga RM900 pada saiz 6-9 inci.Bagi pasaran eksport, syarikat atau individu mestilah berdaftar dan memiliki Lesen Import dan Eksport SKKP Pin.91 yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga Permit CITES.
Berdasarkan analisis LKIM, pelaburan ke atas projek ini agak besar yang mana kos bagi memulakan ternakan Arowana di atas tanah seluas 0.25 hektar dianggarkan sebanyak RM139,392 dengan kelengkapan paling minimum.
Nilai pasaran ikan Arowana juga dipengaruhi oleh cita rasa peminat ikan tersebut namun ketika ini, permintaan serta harganya masih tinggi terutama bagi pasaran antarabangsa.Secara umumnya ketika ini tidak ramai yang mampu menceburi bidang pengeluaran benih ikan ini kerana modal permulaan dan operasi yang agak tinggi termasuk mengambil masa yang agak lama untuk membiak iaitu kebiasaannya pada umur lima tahun. Bagaimanapun, melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan dan mendatangkan pulangan yang lumayan.
Berdasarkan laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat. Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan. Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.
Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan. Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.
Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara. Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.
Selasa, 20 April 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan